PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini, memaklumkan bahawa beliau telah berhubung dengan Emir Qatar, Yang Amat Mulia Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani bagi menyatakan penghargaan atas peranan penting Qatar dalam memeterai gencatan senjata antara Iran, Israel dan Amerika Syarikat.
Menurut Perdana Menteri, langkah diplomasi yang diterajui Qatar itu telah berjaya meredakan ketegangan dan mengelakkan pertembungan lebih besar di rantau Asia Barat.
“Walaupun Qatar berada dalam kedudukan yang sukar kerana turut terheret dalam konflik ini, Sheikh Tamim memilih untuk melihat gambaran yang lebih besar demi keamanan serantau,” kata Anwar.
Beliau turut memuji ketegasan dan keikhlasan Sheikh Tamim dalam mendukung usaha perdamaian berterusan, termasuk dalam rundingan gencatan senjata antara Palestin dan Israel.
Sheikh Tamim juga memaklumkan bahawa beliau telah berhubung dengan bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan menggesa Washington menumpukan usaha untuk menghentikan genosid di Gaza serta mewujudkan perdamaian yang adil dan berkekalan.
“Malaysia akan terus menyokong segala ikhtiar ke arah penyelesaian damai yang berteraskan prinsip keadilan dan kedaulatan.
“Rundingan yang jujur serta menghormati hak setiap negara adalah syarat mutlak dalam membina keamanan berpanjangan,” jelas Perdana Menteri.
Inisiatif ini selari dengan komitmen Malaysia MADANI untuk memperjuangkan keamanan global melalui diplomasi dan kerjasama antarabangsa.