BERKECAI harapan skuad Malayan Tigress selepas tewas 0-6 kepada Korea Utara dalam aksi terakhir kelayakan Kumpulan H yang berlangsung di Stadium Republican Central, Tajikistan.
Impian untuk melangkah ke pentas Piala Asia Wanita 2026 musnah dan terpaksa akur dengan kehebatan aksi negara itu yang menunjukkan dominasi sejak awal permainan.
Korea Utara membuka jaringan menerusi Kim Hye-yong pada minit ke-39 sebelum Myong Yu-jong menggandakan kedudukan menjelang rehat (m-45), sekali gus meletakkan tekanan kepada skuad negara.
Babak kedua menyaksikan Kim Kyong-yong mencuri tumpuan dengan hatrik pantas pada minit ke-52, 54 dan 77, sebelum Ri Hye-gyong menutup malam gemilang Korea Utara dengan jaringan pada masa kecederaan.
Kekalahan itu meletakkan Malaysia di tangga kedua kumpulan dengan enam mata, manakala Korea Utara muncul juara Kumpulan H dengan sembilan mata penuh, sekali gus meraih slot automatik ke Piala Asia Wanita 2026.
Untuk rekod, kali terakhir Malaysia layak ke Piala Asia Wanita ialah pada edisi 1995 selaku tuan rumah, manakala pencapaian terbaik dicatat pada 1983 apabila menamatkan saingan di tempat ketiga di Thailand.
Baca juga: