ROM: Malaysia mencatat pencapaian membanggakan apabila berjaya meraih potensi pelaburan sebanyak RM8.13 bilion menerusi mesyuarat meja bulat kerjasama ekonomi Malaysia-Itali dan pertemuan dua hala bersama syarikat-syarikat utama Itali.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, inisiatif tersebut membuahkan hasil memberangsangkan melalui penglibatan aktif pelbagai pihak.
“Malaysia berjaya meraih potensi pelaburan sebanyak RM8.13 bilion menerusi mesyuarat meja bulat kerjasama ekonomi Malaysia dan Itali serta mesyuarat dua hala bersama-sama syarikat,” katanya memetik laporan media tempatan.
Mesyuarat berkenaan melibatkan penyertaan sebanyak 41 syarikat dan agensi Itali termasuk 23 syarikat sektor pembuatan, sembilan syarikat sektor perkhidmatan, dua syarikat sektor perdagangan, lima agensi kerajaan dan dua pertubuhan industri.
Anwar berkata, kerjasama itu membuka ruang kepada pelaburan dalam sektor strategik seperti petrokimia, tenaga hijau, teknologi automotif dan peralatan elektrik yang selari dengan aspirasi pembangunan mampan negara.
Delegasi Malaysia turut membincangkan potensi eksport bernilai RM425 juta, merangkumi produk oleokimia, biofuel, aditif makanan haiwan dan makanan khas.
Malaysia juga menyeru pengiktirafan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) oleh pihak Itali serta menyuarakan keperluan penilaian adil dalam pelaksanaan Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan EU (EUDR).
Antara inisiatif penting yang dirunding termasuk Petronas & Eni SpA; pembangunan bahan api penerbangan mampan (SAF) di Johor, Perodua & Magna Steyr; teknologi bateri kenderaan elektrik dan pelaburan ke arah pemodenan Grid Elektrik ASEAN.
Untuk info, prestasi perdagangan Malaysia-Itali terus berkembang pada tahun 2024 menyaksikan dagangan bernilai RM14.61 bilion (peningkatan 2 peratus) dan Januari hingga Mei 2025 sebanyak RM6.5 bilion (peningkatan 3.3 peratus).