PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima sambutan negara dalam kunjungan rasmi ke atas Presiden Peru, Dina Ercilia Boluarte Zegarra, di Istana Kerajaan di Lima.
Pertemuan itu menandakan langkah penting dalam memperkukuh hubungan diplomatik dan ekonomi antara Malaysia dan Peru.
Dalam pertemuan tersebut, Anwar dan Boluarte membincangkan peluang kolaborasi ekonomi antara kedua-dua negara termasuk Kerjasama Selatan-Selatan.
Malaysia juga merancang untuk menubuhkan ekosistem halal di Peru dengan memanfaatkan pembangunan Pelabuhan Chancay sebagai laluan strategik untuk mengeksport produk halal ke pasaran Amerika Latin.
“Malaysia sedar kepentingan pelabuhan yang baharu dibangunkan ini dan berharap dapat menyumbang kepada pembangunan infrastruktur di pelabuhan tersebut,” kata Anwar.
Selain itu, kerjasama dalam bidang pertanian dan sekuriti makanan turut dibincangkan.
Kedua-dua pemimpin berkongsi aspirasi yang sama dalam memerangi rasuah dan memperbaiki tatakelola di negara masing-masing.
Anwar juga mempelawa Presiden Boluarte dan delegasi Peru untuk mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia tahun depan.

Pertemuan ini turut menyaksikan pertukaran tiga Memorandum Persefahaman (MoU), iaitu antara Halal Development Corporation (HDC) dan Suruhanjaya Penggalakan Eksport dan Pelancongan Peru (PROMPERU), kerjasama pertanian antara Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Institut Inovasi Pertanian Negara (INIA) serta kerjasama dalam gastronomi dan hospitaliti antara Taylor’s University dan Pusat Latihan Pelancongan Peru (CENFOTUR).
“Saya optimis hubungan Malaysia dan Peru akan berkembang pesat dengan pelbagai kerjasama antara kedua-dua negara,” katanya.