Malaysia Risiko Hilang Pelaburan, Pekerjaan Jika Tidak Tandatangan ART

PETALING JAYA: Malaysia berdepan risiko ekonomi besar termasuk pelaburan lari, kejatuhan eksport dan kehilangan ratusan ribu pekerjaan sekiranya negara tidak menandatangani Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dengan Amerika Syarikat, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Menurutnya, Amerika Syarikat kekal sebagai pasaran eksport terbesar Malaysia dengan nilai jualan mencecah RM166 bilion dari Januari hingga September tahun ini.

Kegagalan memeterai ART, katanya, boleh menyebabkan eksport merosot sehingga 25 peratus, sekali gus menjejaskan sektor kritikal seperti semikonduktor dan farmaseutikal.

“Tanpa ART, lebih 1.1 juta pekerja dan ribuan PKS akan terkesan. Ini bukan retorik tetapi realiti ekonomi yang perlu kita hadapi,” katanya menerusi satu hantaran video di Facebook.

Zafrul turut memberi peringatan bahawa sektor semikonduktor yang mencatat jualan RM56.2 bilion berisiko besar sekiranya Amerika Syarikat mengenakan tarif unilateral terhadap Malaysia.

Beliau berkata, ART tidak menuntut sebarang pindaan undang-undang negara, sekali gus menepis kebimbangan mengenai kedaulatan dasar tempatan.

“Ini bukti bahawa kedaulatan dasar negara kekal terpelihara.

“Hak kita, polisi Bumiputera dan pemilikan sektor strategik tidak disentuh,” katanya.

Katanya, ART juga memastikan 1,711 jenis tarif kekal dilindungi, melibatkan nilai eksport sekitar RM22 bilion.

“Perjanjian ini menjadi perisai perdagangan yang melindungi kita daripada kejutan tarif yang boleh menggugat kestabilan ekonomi,” katanya lagi.

Zafrul menjelaskan bahawa kerajaan telah melalui proses penelitian ketat bersama pelbagai agensi termasuk Jabatan Peguam Negara dan Bank Negara Malaysia sebelum membuat keputusan.

“Keutamaan kita adalah masa depan ekonomi setiap rakyat Malaysia.

“ART adalah langkah mempertahankan kepentingan negara dalam lanskap global yang semakin mencabar,” tegasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Malaysia kini menilai keperluan menandatangani Perjanjian Sivil Nuklear ‘123 Agreement’ dengan Amerika Syarikat.

Perjanjian itu bakal membuka akses kepada teknologi nuklear dari Jepun, Perancis dan Korea Selatan yang menggunakan harta intelek AS.

Fadillah turut memaklumkan bahawa penilaian lokasi loji kuasa nuklear pertama negara masih berjalan dan keputusan hanya akan dibuat selepas semua aspek keselamatan, teknikal dan dasar dipenuhi.

Kerjasama perdagangan dan tenaga antara Malaysia dan Amerika Syarikat termasuk ART dan teknologi nuklear dilihat sebagai pemacu pelaburan berkualiti tinggi serta kesiapsiagaan tenaga negara pada masa hadapan.

Anda Mungkin Berminat