Malaysia Salur RM74 Juta Bantuan Kemanusiaan Kepada Palestin Sejak 2023

PARLIMEN | Malaysia kekal komited menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin, dengan jumlah keseluruhan RM74 juta telah disalurkan sejak Oktober 2023.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata bantuan itu diagihkan melalui Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP), merangkumi bekalan makanan, ubat-ubatan, keperluan asas serta sokongan perubatan kecemasan.

“Komitmen ini diteruskan dengan pengumuman Perdana Menteri pada 24 Ogos 2025, iaitu bantuan tambahan berjumlah RM100 juta bagi tujuan kemanusiaan dan pembangunan semula Gaza,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan melalui laman sesawang Parlimen pada Khamis.

Beliau berkata Malaysia menggalakkan rakyat, NGO, agensi kerajaan serta syarikat swasta untuk terus menyumbang kepada AAKRP sebagai tanda solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin.

Mohamad menjawab soalan Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN–Jempol) mengenai tindakan tegas Malaysia selepas Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam di Qatar serta bentuk bantuan kemanusiaan yang digerakkan.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa usaha kolektif bersama negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Liga Arab dan komuniti antarabangsa diperlukan bagi memastikan tindakan haram Israel dikenakan hukuman tegas.

“Kerajaan terus menyokong usaha membawa Israel ke muka pengadilan di badan kehakiman antarabangsa,” katanya.

Mohamad turut memaklumkan bahawa Perdana Menteri bersama pemimpin OIC dalam sidang di Doha, Qatar pada 15 September lalu telah mengecam keras tindakan ketenteraan Israel.

“Dalam ucapannya, Perdana Menteri menegaskan tindakan Israel yang jelas melanggar undang-undang antarabangsa, Piagam PBB dan prinsip kemanusiaan sejagat tidak boleh dibiarkan,” ujarnya.

Malaysia turut menggesa masyarakat antarabangsa mempertimbangkan langkah punitif termasuk pendekatan diplomatik dan sekatan ekonomi sebagai tekanan untuk menghentikan kekejaman Israel.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat