PETALING JAYA: Malaysia terus teguh mendukung perjuangan rakyat Palestin dan memainkan peranan penting dalam usaha pemulihan serta pembinaan semula Gaza.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian ketika menyambut baik kesediaan Jepun dan Palestin untuk bersama Malaysia menjadi pengerusi bersama CEAPAD IV.
“… yakni satu platform kerjasama serantau penting yang akan dirumus menerusi Pelan Tindakan Kuala Lumpur tidak lama lagi.
“Tumpuan kita jelas; respons kemanusiaan yang menyeluruh, pemulihan awal, pembangunan ekonomi, serta pembinaan keupayaan.
“Kita juga tekad menyelaras usaha bersama pelan pembinaan semula Gaza anjuran Mesir yang telah pun mendapat dukungan Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC),” katanya dalam kenyataan media pada Jumaat.
Tambah Anwar, tindakan barbarik rejim Israel yang mengharamkan UNRWA merupakan serangan terbuka terhadap badan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan harus dikecam sekeras-kerasnya.
“Ini antara intipati perbincangan saya saat menerima kunjungan oleh Menteri Perancangan dan Kerjasama Antarabangsa Palestin, Dr Estephan Salameh dan wakil UNRWA, Natalie Boucly pagi tadi,” katanya.
Terdahulu, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan sekali lagi menegaskan pendirian Malaysia terhadap isu kemanusiaan di Gaza, dengan menggesa komuniti antarabangsa bertindak terhadap kekejaman berterusan yang dilakukan oleh Israel ke atas rakyat Palestin.
Seruan itu disampaikqn dalam Mesyuarat Tiga Hala antara Malaysia, Switzerland dan Sekretariat ASEAN yang berlangsung di ibu negara, hari ini.
Baca juga: