Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Malaysia akan meneruskan usaha-usaha ke arah merealisasikan hak penentuan nasib sendiri dan keadilan untuk rakyat Palestin.
Ia selaras dengan undang-undang antarabangsa dan Piagam Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Menurut Kementerian Luar Negeri, itu termasuk melalui proses-proses perundangan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Justeru itu, Malaysia menyambut baik resolusi yang diluluskan oleh Perhimpunan Agung PBB bagi memohon pendapat nasihat daripada ICJ mengenai tanggungjawab Israel ke atas kehadiran dan kegiatan PBB, organisasi antarabangsa serta negara-negara ketiga di wilayah Palestin yang diduduki.
“Resolusi ini telah dibentangkan oleh negara-negara sepemikiran termasuk Malaysia di bawah agenda “Memperkukuhkan Sistem Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu”.
“Ia merupakan tindakan balas terhadap keputusan rejim zionis Israel mengharamkan operasi Agensi Bantuan dan Kerja untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) di Gaza, Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Tambahnya lagi, resolusi itu mencerminkan keazaman masyarakat antarabangsa untuk menangani krisis kemanusiaan di wilayah Palestin.
Selain itu, ia bagi memastikan keselamatan orang awam dan kakitangan PBB, serta melindungi peranan penting PBB dalam usaha-usaha merealisasikan penyelesaian yang adil, berkekalan dan menyeluruh kepada perjuangan Palestin.
Baca juga: