Malaysia sampaikan ucapan takziah kepada Afghanistan & Sudan

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa dukacita yang mendalam ke atas bencana gempa bumi yang kini melanda Afghanistan serta kejadian tanah runtuh teruk di Sudan yang meragut ribuan nyawa.

Menerusi kenyataan di laman Facebooknya hari ini, Anwar menyampaikan doa dan ucapan takziah kepada semua rakyat Afghanistan yang kehilangan orang tersayang akibat bencana itu.

“Saya amat sedih dengan kejadian gempa bumi yang melanda Afghanistan, mengorbankan ramai nyawa serta meninggalkan keluarga mangsa dalam kedukaan dan kesusahan.

“Saya turut berasa dukacita apabila mendapat tahu mengenai kejadian tanah runtuh serius di Sudan yang telah meragut lebih seribu nyawa,” katanya.

Kata Perdana Menteri, Malaysia kekal berdiri teguh bersama seluruh rakyat Afghanistan dan Sudan di saat suasana yang penuh dukacita itu.

“Malaysia berdiri teguh bersama rakyat Afghanistan dan Sudan dalam saat penuh dukacita ini,” katanya lagi.

Sebelum ini, media melaporkan Afghanistan ditimpa bencana gempa bumi yang bermagnitud 6.0 itu melanda pada tengah malam Ahad.

Difahamkan, bencana itu menyebabkan kemusnahan paling teruk di wilayah Kunar, yang bersempadan dengan Pakistan dengan angka korban lebih 800 orang.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat