PETALING JAYA: Malaysia menyeru Pakistan dan Afghanistan agar menyelesaikan ketegangan yang semakin meruncing di sempadan kedua-dua negara melalui jalan damai, demi kesejahteraan rakyat dan kestabilan serantau.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu hantaran di Facebook, memaklumkan bahawa beliau telah menghubungi Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif dan Pemangku Perdana Menteri Afghanistan, Mullah Mohammad Hassan Akhund bagi menyampaikan kebimbangan Malaysia terhadap situasi yang sedang berlaku.
“Saya menegaskan kepentingan untuk mencari jalan damai melalui saluran diplomasi dan dialog.
“Konflik yang berpanjangan hanya akan membawa kesengsaraan kepada rakyat serta menjejaskan kestabilan rantau ini,” katanya.
Anwar turut menzahirkan rasa dukacita dan simpati mendalam terhadap rakyat Pakistan yang terkesan akibat bencana banjir serta rakyat Afghanistan yang baru-baru ini dilanda gempa bumi di wilayah timur negara itu.
Menurut beliau, Malaysia akan terus berdiri teguh bersama kedua-dua negara dalam menghadapi ujian ini, sambil memperkukuh semangat persaudaraan Islam di peringkat serantau.
“Malaysia bersama komuniti antarabangsa akan terus menyalurkan bantuan kemanusiaan dan menyokong segala usaha ke arah keamanan serta kestabilan serantau,” katanya lagi.
Beliau turut menekankan bahawa rundingan damai yang sedang diusahakan di bawah kelolaan Kerajaan Qatar wajar mendapat sokongan menyeluruh daripada semua pihak bagi memastikan keamanan jangka panjang dapat dicapai.
Hubungan Malaysia dengan Pakistan dan Afghanistan telah terjalin erat sejak sekian lama khususnya melalui kerjasama dalam bidang kemanusiaan, perdagangan dan pendidikan.








