CYBERJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyatakan keyakinan bahawa negara berada di landasan yang tepat untuk mencapai visi Malaysia Bebas Rokok menjelang tahun 2040.
Ini selari dengan usaha berterusan memperkasa dasar kesihatan awam dan kesejahteraan rakyat.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata matlamat ini merupakan komitmen jangka panjang negara dalam memastikan generasi masa hadapan bebas daripada bahaya rokok dan produk tembakau.
“Visi ini bukan sekadar harapan, tetapi satu sasaran realistik yang memerlukan komitmen kolektif seluruh rakyat serta pengukuhan dasar berpaksikan kesihatan dan kepentingan awam,” katanya ketika merasmikan Persidangan Kawalan Tembakau Kebangsaan (NTCC) di Universiti Cyberjaya.
Antara langkah utama yang diambil termasuk pelancaran Inisiatif Kesihatan Paru-Paru Kebangsaan 2025–2030, sebagai salah satu usaha strategik untuk mengurangkan kadar penggunaan rokok dan meningkatkan kesedaran tentang kesihatan pernafasan.
Menurut Dzulkefly, kejayaan Malaysia membawa Resolusi Kesihatan Paru-Paru dalam Perhimpunan Kesihatan Sedunia ke-78 (WHA) di Geneva merupakan pencapaian penting yang menunjukkan kesungguhan negara dalam agenda kawalan tembakau.
Resolusi tersebut dijangka diterima pakai secara global melalui Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Jelas beliau, pendekatan yang diambil oleh KKM adalah bersifat menyeluruh dan inklusif, melibatkan pelbagai lapisan umur dan sektor daripada agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi akademik, rakan antarabangsa, sehingga ke kepimpinan komuniti.
“Usaha ini dibina di atas dasar, kempen dan pembaharuan yang berteraskan bukti saintifik, nilai belas ihsan, dan matlamat nasional,” tambah beliau.
KKM percaya dengan kolaborasi berterusan dan pendekatan berasaskan data serta advokasi kesihatan yang agresif, Malaysia mampu membina sebuah masyarakat yang lebih sihat dan bebas daripada ancaman tembakau.
Sasaran Malaysia Bebas Rokok menjelang 2040 kini menjadi antara agenda kesihatan awam paling penting, seiring dengan cabaran semasa dan keperluan membina generasi sihat tanpa ketagihan rokok.