Malaysia Sasar Jadi Hab Reka Bentuk Semikonduktor Bertaraf Dunia – PM

KOTA DAMANSARA: Malaysia kini bersedia melonjak ke hadapan dalam perlumbaan teknologi global apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan komitmen kerajaan untuk menjadikan negara ini sebagai hab reka bentuk dan pembangunan semikonduktor bertaraf dunia.

Ketika merasmikan Malaysia Semiconductor IC Design Park 2, Anwar menekankan bahawa kejayaan sesebuah negara tidak hanya bergantung kepada dasar yang baik tetapi juga kepada kecekapan dan kepantasan pasukannya dalam melaksanakan pembaharuan.

“Ini termasuklah dalam industri semikonduktor yang menjadi nadi penting ekonomi masa depan,” katanya.

Malaysia Semiconductor IC Design Park 2 merupakan sebahagian daripada pelan menyeluruh kerajaan untuk memperkukuh daya saing negara dalam industri bernilai tinggi ini.

Menurutnya, inisiatif tersebut merangkumi pelbagai aspek strategik termasuk pembangunan bakat, insentif pelaburan dan infrastruktur sokongan.

“Inisiatif ini merangkumi pelan menyeluruh yang menumpukan kepada penyediaan tenaga mahir, penubuhan pusat latihan dan kecemerlangan, penyediaan insentif strategik serta kemudahan sokongan yang memperkukuh rantaian nilai industri semikonduktor negara,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa Malaysia tidak boleh lagi berpuas hati dengan sistem lama yang terlalu selesa, sebaliknya perlu berani melakukan anjakan paradigma demi masa depan ekonomi negara.

“Kita tidak boleh lagi berpuas hati dengan sistem lama yang terlalu selesa, justeru kini tiba masanya untuk melonjak ke hadapan dan menjadikan Malaysia dikenali sebagai hab reka bentuk dan pembangunan semikonduktor bertaraf dunia, serta destinasi pilihan utama pelabur global,” tegasnya.

Anda Mungkin Berminat