PARLIMEN | Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa masa depan ekonomi Malaysia ditentukan oleh keupayaan negara menguasai kecerdasan buatan (AI) dan inovasi, selaras dengan matlamat menjadikan Malaysia sebagai Negara AI menjelang 2030.
Beliau berkata, di bawah kerangka Malaysia MADANI, kerajaan memperkukuh peranan Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) serta menubuhkan Fakulti AI pertama negara di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Usaha itu turut disokong oleh pelancaran model bahasa nasional pertama, Intelek Luhur Malaysia Untukmu (ILMU) hasil kerjasama UM dan YTL AI Labs.
Dalam masa sama, Malaysia menarik pelaburan besar daripada gergasi teknologi global termasuk Microsoft (USD2.2 bilion), Google (USD2 bilion) dan Amazon Web Services (AWS) bagi membangunkan pusat data, wilayah awan dan latihan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Menuju 2030, kerajaan memperuntukkan RM5.9 bilion bagi aktiviti penyelidikan, pembangunan, komersial dan daya cipta (RDCI) serta RM20 juta kepada NAIO untuk memperkukuh ekosistem AI kebangsaan. SKMM turut membina Sovereign AI Cloud bernilai RM2 bilion dan menubuhkan AI Transformation Centre bersama MMU.
Anwar berkata, semua inisiatif ini menzahirkan iltizam kerajaan untuk membangunkan AI beretika dan berpaksikan nilai, bagi memastikan kemajuan teknologi tidak meminggirkan kemanusiaan dalam kerangka Malaysia MADANI.
Baca juga: