Malaysia satu-satunya negara terima daging Hanwoo halal Korea

PETALING JAYA: Malaysia kini menjadi satu-satunya negara yang menerima bekalan daging lembu premium Hanwoo halal dari Korea Selatan selepas syarikat pengeluar Handawoon FSL Ltd mendapat kelulusan eksport pada Mei 2023.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata beliau sendiri meninjau proses sembelihan dan pelapahan di rumah sembelihan Handawoon FSL, satu-satunya fasiliti halal diiktiraf di Korea Selatan.

“Lawatan ini untuk memastikan daging Hanwoo yang sampai ke Malaysia benar-benar menepati piawaian syariah, berkualiti tinggi dan selamat dimakan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurut Mohamad, sambutan rakyat terhadap daging Hanwoo halal sangat positif, malah syarikat berkenaan kini berusaha meluaskan pasaran ke Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Beliau berkata, pencapaian itu membuktikan walaupun Korea Selatan bukan negara Islam, namun negara itu mampu menghasilkan produk halal bertaraf antarabangsa.

Malaysia pula berperanan sebagai pintu masuk strategik produk halal Korea ke pasaran Asia Tenggara dan Timur Tengah.

“Kerjasama ini penting untuk memastikan keterjaminan makanan negara dan mempelbagaikan sumber bekalan halal dari pelbagai negara,” jelasnya.

Tambah Mohamad, usaha sebegini akan diteruskan bagi mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab halal global serta menjamin masa depan makanan halal rakyat.

Sebelum ini, Mohamad sempat mengadakan lawatan ke Handawoon FSL Ltd yang merupakan satu-satunya rumah sembelihan halal yang diiktiraf di negara itu semasa beliau berada di Korea Selatan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat