Malaysia Sedia Bantu Guinea-Bissau Bangunkan Kepakaran, Infrastruktur – PM

PETALING JAYA: Malaysia komited memperkukuh hubungan dua hala dengan Guinea-Bissau melalui bantuan kepakaran serta latihan teknikal menerusi Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP).

Inisiatif itu bakal diselaraskan oleh Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

“Hubungan kita dengan Guinea-Bissau sebelum ini agak sederhana, namun lawatan rasmi ini membawa makna besar kerana Presiden Jeneral Umaro Sissoco Embalo menunjukkan visi dan komitmen tinggi untuk memperkukuh kerjasama dengan Malaysia khususnya dalam bidang perdagangan dan pelaburan,” kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang media di Bangunan Perdana Putra, hari ini.

Lawatan rasmi itu merupakan kunjungan sulung Presiden Guinea-Bissau ke Malaysia dan dianggap sebagai langkah penting untuk membuka lembaran baharu dalam hubungan diplomatik kedua-dua negara.

Menurut Anwar, perbincangan turut merangkumi pelbagai bidang strategik seperti pensijilan halal, perbankan Islam, pendidikan tinggi, latihan teknikal, teknologi makanan, semikonduktor serta industri minyak dan gas.

Beliau berharap syarikat besar Malaysia seperti PETRONAS dan Felda Global Ventures (FGV) dapat meneroka potensi kerjasama yang lebih erat dengan Guinea-Bissau.

“Kita mahu hubungan ini tidak hanya terbatas kepada Malaysia dan Guinea-Bissau, sebaliknya menjadi pintu masuk kepada kerjasama lebih luas di peringkat subrantau dan benua Afrika.

“Guinea-Bissau mempunyai jaringan hubungan diplomatik yang baik dengan negara seperti UAE, Perancis, Rusia dan Amerika Syarikat.

“Maka, ia mampu memberi kelebihan strategik kepada Malaysia,” jelasnya.

Sementara itu, Embalo menyatakan kesediaan Guinea-Bissau untuk menjadikan Malaysia sebagai model pembangunan dalam pelbagai bidang.

“Malaysia bukan sahaja menjadi contoh di Asia Tenggara, malah di peringkat global.

“Kami rasa bangga dan percaya kita seharusnya saling menyokong seperti adik-beradik.

“Saya yakin hubungan ini akan terus diperkukuh menerusi kerjasama erat antara saya dan Perdana Menteri serta pasukan kami,” ujarnya.

Anda Mungkin Berminat