Malaysia Sedia Permudah Eksport Daging Pakistan

PETALING JAYA: Malaysia menyatakan kesediaan untuk memudah cara kemasukan eksport daging dari Pakistan termasuk daging lembu, ke pasaran tempatan sebagai langkah memperkukuh hubungan perdagangan dan kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif itu selari dengan usaha berterusan kerajaan untuk memperluas sumber bekalan makanan halal dan menjamin kestabilan rantaian makanan negara.

“Kerajaan Malaysia mengalu-alukan minat Pakistan untuk mengeksport daging ke Malaysia dan akan memudah cara proses yang berkaitan demi manfaat bersama,” katanya dalam sidang media bersama Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, sempena lawatan rasmi beliau ke Malaysia.

Lawatan dua hari yang bermula pada Ahad menyaksikan kedua-dua pemimpin membincangkan pelbagai isu strategik, termasuk solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin yang terus berdepan kekejaman rejim Zionis di Gaza.

Anwar menegaskan pendirian Malaysia kekal teguh dalam menyokong hak rakyat Palestin dan menyeru masyarakat antarabangsa agar segera bertindak menghentikan penderitaan yang berlarutan.

“Malaysia kekal konsisten menyokong perjuangan rakyat Palestin dan menggesa masyarakat antarabangsa segera menghentikan kekejaman rejim Zionis,” tegas beliau.

Dalam nada penuh penghargaan, Anwar turut mengiktiraf sumbangan rakyat Pakistan yang telah lama menjadi sebahagian daripada pembangunan negara khususnya dalam bidang pendidikan, kejuruteraan dan perubatan.

“Rakyat Pakistan memainkan peranan penting dalam pelbagai sektor termasuk pendidikan, kejuruteraan dan perubatan di Malaysia.

“Kita amat menghargai sumbangan mereka,” ujarnya.

Anwar turut menyentuh cadangan inisiatif keamanan 20 perkara oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Walaupun menyambut baik usaha ke arah perdamaian, beliau menyatakan kebimbangan terhadap kerangka pelaksanaannya.

Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 9.45 malam Ahad dengan pesawat khas, menandakan permulaan lawatan rasmi beliau ke Malaysia dari 6 hingga 7 Oktober.

Anda Mungkin Berminat