Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Malaysia mengorak langkah sebagai peneraju pembangunan Bandar Kecerdasan Buatan (AI) di ASEAN dengan penganjuran Smart City Expo Kuala Lumpur 2025 (SCEKL25) yang bakal berlangsung dari 17 hingga 19 September 2025.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, ekspo itu mengukuhkan posisi Malaysia sebagai hab utama inovasi bandar pintar, transformasi digital dan pelaksanaan AI secara beretika.
“Expo ini membuktikan komitmen kita dalam membina bandar-bandar yang bukan sahaja pintar, tetapi juga inklusif, berdaya tahan dan berpusatkan manusia, sejajar dengan nilai-nilai Malaysia MADANI,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Menurutnya, melalui inisiatif Malaysia Digital yang dikendalikan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) serta pembangunan infrastruktur 5G oleh Digital Nasional Berhad (DNB), kerajaan telah membina asas kukuh untuk penyelesaian bandar berasaskan AI.
“Kita sedang mentransformasikan dasar kepada projek yang nyata dan berskala daripada sistem keselamatan awam hinggalah kepada pembangunan infrastruktur berasaskan ramalan,” katanya.
Gobind berkata, SCEKL25 bakal menjadi platform strategik yang menghimpunkan pemikir global, pembuat dasar, pelabur dan usahawan dalam merangka masa depan bandar-bandar di rantau ini.
“Lebih daripada sekadar platform dialog, ia bertindak sebagai pemangkin kepada pelaburan, inovasi dan kerjasama serantau,” katanya.
Tambah beliau, menjelang September ini, Malaysia bersedia menyambut kehadiran dunia ke Kuala Lumpur bagi memperlihatkan kesiapsiagaan negara dalam menerajui perubahan, membentuk kerjasama dan memacu masa depan digital.
Untuk rekod, SCEKL25 merupakan edisi pertama Smart City Expo World Congress Barcelona yang dianjurkan di Asia Tenggara yang menandakan wawasan berani Malaysia dalam membina bandar pintar yang inklusif dan mampan berasaskan teknologi terkini.
Bertemakan ‘Bandar AI: Membentuk Masa Depan Digital Kita’, ekspo itu dianjurkan dengan kerjasama MDEC dan DNB bagi pihak Kementerian Digital dengan tujuan mempertemukan pemimpin global, pelabur serta penginovasi teknologi bagi meneroka bagaimana AI sedang membentuk semula kehidupan bandar di ASEAN.








