Malaysia Sekat Sementara Akses AI Grok

PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengumumkan sekatan sementara terhadap akses kecerdasan buatan (AI) Grok bagi pengguna di Malaysia, berkuat kuasa mulai hari ini.

Langkah itu diambil selepas Grok didapati berulang kali disalahgunakan untuk menjana kandungan lucah, bersifat seksual eksplisit, tidak senonoh serta imej manipulasi tanpa persetujuan.

“Tindakan ini diambil susulan penyalahgunaan Grok berulang kali untuk menjana kandungan lucah, kandungan seksual eksplisit, kandungan tidak senonoh yang jelik melampau serta imej manipulasi tanpa persetujuan termasuk kandungan yang melibatkan wanita dan kanak-kanak, walaupun libat urus kawal selia telah dikeluarkan kepada X Corp. dan XAI LLC,” kata MCMC dalam satu kenyataan pada Ahad.

MCMC berkata, satu notis telah dihantar kepada X Corp. dan xAI LLC pada 3 dan 8 Januari 2026 bagi menuntut perlindungan teknikal serta mekanisme penyeliaan kandungan yang berkesan.

Langkah itu katanya bertujuan mencegah kandungan janaan AI yang berpotensi melanggar undang-undang Malaysia termasuk Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Namun, maklum balas yang diterima daripada X Corp. pada 7 dan 9 Januari hanya menekankan mekanisme pelaporan oleh pengguna tanpa menangani risiko sedia ada yang berpunca daripada reka bentuk dan operasi Grok.

MCMC menegaskan bahawa pendekatan tersebut tidak memadai untuk mencegah kemudaratan serta memastikan pematuhan undang-undang.

“Sekatan akses kepada Grok akan kekal sehingga langkah perlindungan yang berkesan dilaksanakan khususnya bagi mencegah kandungan yang melibatkan wanita dan kanak-kanak,” kata MCMC.

MCMC turut berkata, pihaknya kekal terbuka untuk meneruskan libat urus bersama X Corp. dan xAI LLC dengan syarat pematuhan terhadap undang-undang Malaysia dapat dibuktikan.

Dalam masa sama, orang awam digesa segera melaporkan sebarang kandungan dalam talian yang memudaratkan kepada MCMC dan jika perlu, laporan turut boleh dibuat kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Anda Mungkin Berminat