PUTRAJAYA: Malaysia dan Senegal bersetuju untuk memperkukuh hubungan dua hala merangkumi bidang perdagangan, pelaburan, industri halal, urusan haji dan waqf, dalam usaha memperluas kerjasama strategik antara kedua-dua negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, komitmen itu dicapai semasa menerima kunjungan hormat Menteri Integrasi Afrika dan Hal Ehwal Luar Senegal, Yassine Fall, di Putrajaya pagi tadi.
“Perbincangan kami memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kerjasama strategik yang membawa manfaat bersama,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Menurut Anwar, kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai pelbagai isu serantau dan antarabangsa termasuk perkembangan semasa di Asia Barat dan benua Afrika.
Lawatan rasmi Yassine Fall ke Malaysia selama dua hari bermula hari ini merupakan langkah penting dalam memantapkan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.
Dalam kenyataan berasingan, Kementerian Luar memaklumkan bahawa lawatan ini adalah kunjungan balas kepada lawatan Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan ke Senegal pada Mei 2024.
Langkah ini dilihat sebagai pemangkin kepada pengukuhan kerjasama Selatan-Selatan, selain membuka peluang ekonomi baharu antara Malaysia dan negara Afrika Barat itu.
Malaysia dan Senegal telah menjalin hubungan diplomatik sejak 1982 dan terus memperkukuh kerjasama dalam pelbagai sektor berpotensi.








