Malaysia Serah Kepengerusian ASEAN Kepada Filipina

Oleh: Tyah Helmi

KUALA LUMPUR: Ibu negara sekali lagi mencatat sejarah apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim secara rasmi menyerahkan kepengerusian ASEAN kepada Presiden Filipina, Ferdinand R. Marcos Jr., yang akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 tahun hadapan.

Majlis penyerahan berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) tepat pukul 3:45 petang Selasa, disaksikan oleh para pemimpin negara anggota ASEAN serta wakil dari kuasa-kuasa dunia.

Dalam ucapan pembukaan majlis, Anwar menzahirkan rasa syukur dan penghargaan atas kepercayaan yang diberikan kepada Malaysia sepanjang tempoh kepengerusian.

“Satu penghormatan luar biasa bagi negara Malaysia tercinta untuk menakhodai ASEAN 2025.

“Hari ini, kita menutup tirai bagi tahun ini dan pada tahun hadapan, sahabat saya, Presiden Ferdinand Marcos Jr., akan mengambil alih kepengerusian.

“Alhamdulillah, kita kini berada di penghujung Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan.

“Satu penghormatan besar bagi kami menjadi tuan rumah kepada Kebawah Duli Tuanku serta para pemimpin di Kuala Lumpur untuk sesi perbincangan yang padat namun penuh pencerahan ini,” katanya.

Anwar turut meluahkan rasa bangga apabila melihat semangat perbincangan yang kembali hidup sepanjang sidang berlangsung, bukan sahaja dalam kalangan pemimpin ASEAN, malah bersama rakan dialog dari luar rantau.

“Ini membuktikan bahawa jentera ASEAN, apabila digerakkan dengan kesabaran dan kebijaksanaan, masih dapat berfungsi dengan berkesan.

“Kita akui bahawa tiada satu kepengerusian malah oleh satu generasi sekalipun mampu membetulkan semua keadaan.

“Akan ada krisis yang berterusan dan akan ada kehidupan yang masih dibayangi ketakutan dan kekurangan,” ujarnya.

Anda Mungkin Berminat