Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Malaysia bakal menyertai sesi rundingan Intergovernmental Working Group Session 6 (IGWG6) anjuran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Geneva, Switzerland, yang berlangsung dari Selasa hingga Sabtu secara dalam talian.
Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), penyertaan itu turut melibatkan kerjasama rapat dengan beberapa agensi kerajaan termasuk Jabatan Peguam Negara Malaysia (AGC).
“Langkah ini bagi membolehkan mereka mengikuti serta mengambil bahagian secara aktif dalam sesi rundingan demi melindungi kepentingan negara dan kesejahteraan rakyat,” kata KKM.
Delegasi Malaysia terdiri daripada pakar teknikal dan perundangan akan berhimpun di sebuah pusat koordinasi dalam negara bagi memastikan pandangan serta pendirian Malaysia diselaraskan secara menyeluruh dan strategik.
Keputusan untuk menyertai rundingan secara maya dibuat selepas mengambil kira situasi konflik di Asia Barat serta kekangan logistik semasa yang kritikal.
Dalam masa sama, KKM berkata, Malaysia mengiktiraf kepentingan rundingan Pathogen Access and Benefit-Sharing System (PABS) dalam memperkukuh kesiapsiagaan global menghadapi pandemik.
“Malaysia sebelum ini sentiasa memastikan perwakilan dihantar ke rundingan seumpama ini dan tidak pernah gagal menghantar delegasi secara fizikal,” kata KKM.
Tambah kenyataan itu, Malaysia akan terus komited bekerjasama rapat dengan negara anggota lain serta pihak berkepentingan melalui koordinasi erat antara kementerian dan agensi terlibat.








