Malaysia Seru Kerjasama Serantau Perkukuh Jalan Raya Tahan Iklim

REPUBLIK KOREA: Malaysia menyeru negara anggota Road Engineering Association of Asia and Australasia (REAAA) agar memperkukuh kerjasama serantau dalam bidang teknologi, pembangunan kapasiti dan penyelesaian mobiliti pintar demi membina infrastruktur jalan raya yang lebih mampan dan tahan iklim.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, cabaran perubahan iklim, peningkatan kos dan keusangan aset jalan raya menuntut pendekatan kolektif yang melangkaui sempadan negara.

“Kita berdepan cabaran yang sama iaitu perubahan iklim, peningkatan kos dan aset yang semakin usang.

“Melalui kerjasama dan perkongsian ilmu, kita mampu membina infrastruktur yang bukan sahaja menghubungkan negara tetapi juga melindungi kehidupan rakyat,” katanya ketika berucap mewakili Malaysia di Sidang REAAA ke-17.

Dalam ucapan bertajuk ‘Paving the Future – Sustainable and Resilient Roads in a Climate-Challenged Era’, beliau menekankan strategi Malaysia memperkukuh kemampanan dan inovasi melalui Dasar Pembinaan Negara (NCP) 2030, Pelan Peralihan Tenaga Nasional dan Pelan Induk Teknologi Hijau.

Katanya, penyelenggaraan jalan raya menjadi tumpuan utama NCP 2030 di bawah Teras Ke-4 – Memperkukuh Penyelenggaraan Infrastruktur, yang menekankan keperluan mempertingkat daya tahan dan adaptasi terhadap perubahan iklim.

Beliau turut memaklumkan bahawa Kementerian Kerja Raya kini menerajui inisiatif 10 tahun untuk mentransformasikan sektor penyelenggaraan melalui Dasar Penyelenggaraan Infrastruktur dan Aset Negara yang dijadual dilancarkan pada 2027.

Beliau berkata, dasar itu merangkumi perlindungan cerun, sistem saliran serta pemantauan berasaskan teknologi.

Dalam sesi perkongsian, Nanta turut mengetengahkan kejayaan aplikasi MYJalan yang membolehkan rakyat melaporkan isu jalan rosak secara terus.

Katanya, sejak dilancarkan pada Ogos 2023, lebih 42,600 aduan telah diterima dan 96.7 peratus daripadanya berjaya diselesaikan di bawah bidang kuasa kementerian.

Untuk info, Sidang REAAA 2025 yang bertemakan ‘Innovating Road Infrastructure for a Sustainable Future’ menghimpunkan lebih 1,000 delegasi dari 30 negara.

Anda Mungkin Berminat