Malaysia Seru Thailand, Kemboja Selesai Isu Sempadan Melalui Diplomasi

PETALING JAYA: Malaysia menyeru Thailand dan Kemboja agar terus mengamalkan sikap berhemah dalam menangani isu sempadan antara kedua-dua negara menerusi rundingan serta saluran diplomatik yang harmoni.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau berhubung dengan rakan sejawatnya dari Kemboja untuk menyatakan sokongan terhadap usaha penyelesaian secara aman dan turut menjadualkan panggilan telefon bersama Perdana Menteri Thailand, petang tadi.

“Kita amat menghargai hubungan baik bersama Thailand dan Kemboja. Saya menyeru kedua-dua pihak mengambil langkah untuk meredakan ketegangan dan menyelesaikan isu ini secara menyeluruh serta damai.

“Saya juga telah berhubung dengan Perdana Menteri Kemboja dan petang ini akan bercakap pula dengan Perdana Menteri Thailand bagi menyatakan sokongan terhadap pendekatan diplomasi yang telah dipilih,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa semangat kerjasama serantau dan prinsip ASEAN mengenai penyelesaian pertikaian secara aman akan menjadi asas kukuh dalam menangani perkara tersebut.

“Sebagai Pengerusi ASEAN, saya percaya pendekatan ini adalah selari dengan semangat dan nilai ASEAN yang menolak keganasan serta mengutamakan dialog,” katanya.

Anda Mungkin Berminat