Malaysia siap siaga tempa sejarah di ASEAN-47

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Malaysia kini di fasa akhir persiapan bagi menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang dijadual berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, segala persiapan berjalan lancar hasil penyelarasan rapi antara kementerian dan agensi kerajaan melalui Mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya.

“Alhamdulillah, segala persiapan kini berada di fasa akhir pelaksanaan.

“Insya-Allah, Malaysia telah bersedia sepenuhnya untuk menyambut kehadiran para pemimpin ASEAN dan rakan dialog antarabangsa dalam sidang kemuncak bersejarah ini,” katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.

Menurut beliau, Sidang Kemuncak ASEAN kali ini bukan sekadar acara diplomatik, sebaliknya menjadi peluang penting untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju serantau yang disegani kerana wibawa dan dihormati kerana kepimpinan.

“Marilah kita bersama-sama berdoa agar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 ini berlangsung dengan jayanya, sekali gus mengangkat nama Malaysia di persada dunia,” ujar beliau.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dijangka menghimpunkan pemimpin tertinggi negara anggota serta rakan dialog utama termasuk China, Amerika Syarikat, Jepun dan Australia bagi membincangkan hala tuju rantau ini dalam aspek ekonomi, keselamatan dan kerjasama strategik masa depan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat