PETALING JAYA: Isu kesesakan di pintu sempadan Johor-Singapura terus menjadi perhatian utama dalam Sesi Pemukiman Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Singapura ke-12 yang berlangsung pada Khamis dengan kedua-dua negara menekankan komitmen untuk mencari penyelesaian jangka panjang demi kesejahteraan rakyat.
Antara langkah besar yang diumumkan ialah pelaksanaan Sistem Transit Aliran Johor Bahru-Singapura (RTS Link), yang dijangka siap menjelang Disember tahun depan.
Projek mega itu diyakini mampu mengurangkan kesesakan di Tambak Johor secara berkesan, sekali gus memberi kelegaan kepada ratusan ribu pengguna yang berulang-alik setiap hari.
Selain itu, Kementerian Pengangkutan Malaysia dan Singapura kini berada di peringkat akhir perbincangan bagi menambah baik Skim Teksi Rentas Sempadan serta memperluas perkhidmatan e-hailing.
Langkah itu bertujuan memenuhi keperluan mobiliti rakyat kedua-dua negara dengan lebih baik, selaras dengan peningkatan jumlah perjalanan harian.
Dalam ucapannya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut merakamkan penghargaan kepada Singapura atas sokongan terhadap Program Sukarelawan Bahasa Inggeris MY-SG (MSEVP) yang memberi tumpuan kepada golongan belia dan menggalakkan pertukaran antara rakyat serta kumpulan profesional.
“Saya rakamkan penghargaan kepada Singapura atas sumbangan terhadap Program Sukarelawan Bahasa Inggeris MY-SG (MSEVP) yang memberi tumpuan kepada golongan belia dan menggalakkan pertukaran antara rakyat serta kumpulan profesional.
“Semoga hubungan persahabatan erat antara Malaysia dan Singapura terus diperkukuh demi kebaikan rakyat kedua-dua negara. Alhamdulillah,” katanya.








