Malaysia sokong dialog aman tangani ketegangan sempadan Thailand-Kemboja

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa mengadakan perbincangan bersama Perdana Menteri Kemboja dan Thailand berhubung ketegangan yang berlaku di kawasan sempadan kedua-dua negara.

Menurut beliau, keterbukaan dan kesediaan kedua-dua pemimpin untuk meneruskan rundingan adalah langkah penting bagi meredakan ketegangan dan mengelakkan salah faham yang boleh memburukkan keadaan.

“Usaha diplomasi berterusan telah memastikan tiada insiden lebih serius berlaku dalam beberapa jam yang kritikal ini,” kata beliau dalam satu kenyataan pada Rabu.

Anwar menegaskan Malaysia terus menyokong dialog aman dan penyelesaian berasaskan undang-undang antarabangsa bagi mengekalkan keamanan di rantau ini.

Beliau juga menekankan kepentingan kerjasama serantau dalam menangani isu keselamatan sempadan dan memastikan kestabilan politik ASEAN terus terpelihara.

Malaysia, menurut beliau, komited menjadi penghubung yang membantu memudahkan rundingan antara kedua-dua pihak untuk mencapai persefahaman bersama.

Setakat ini, walaupun penyelesaian tuntas belum dicapai, tahap ketegangan berjaya dikurangkan melalui komunikasi berterusan antara kerajaan Malaysia, Kemboja dan Thailand.

Langkah diplomasi ini selari dengan aspirasi Malaysia untuk mempromosikan keamanan dan kerjasama serantau, sejajar dengan prinsip ASEAN dan agenda MADANI kerajaan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat