Malaysia Sokong ICJ, Desak Israel Henti Sekat Bantuan Kemanusiaan Ke Gaza

PUTRAJAYA: Malaysia menyambut baik pendapat nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang menegaskan peranan penting Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Agensi Bantuan dan Kerja Raya PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA) dalam menyalurkan bantuan kemanusiaan ke wilayah Palestin yang diduduki.

Menurut kenyataan Wisma Putra, keputusan ICJ itu membuktikan bahawa tindakan Israel menyekat bantuan adalah pelanggaran terhadap tanggungjawabnya sebagai kuasa penjajah di bawah undang-undang antarabangsa.

“Pendapat ICJ ini jelas menunjukkan peranan penting UNRWA dalam memastikan bantuan kemanusiaan sampai kepada rakyat Palestin,” kata kenyataan itu pada Khamis.

ICJ turut menegaskan bahawa Israel wajib melindungi petugas kemanusiaan serta menghormati premis dan aset PBB seperti yang termaktub dalam Konvensyen Keistimewaan dan Kekebalan PBB 1946.

“Malaysia menyokong penuh pendirian ICJ dan menegaskan agar keputusan ini dilaksanakan segera tanpa sebarang sekatan,” katanya lagi.

Malaysia turut menegaskan bahawa Israel perlu dipertanggungjawabkan atas kekejaman terhadap rakyat Palestin serta pencabulan undang-undang antarabangsa khususnya dalam konteks sekatan bantuan dan serangan terhadap kemudahan awam.

“Israel mesti berhenti menyekat bantuan dan menghentikan penderitaan rakyat Palestin di Gaza,” tegas kenyataan itu.

Anda Mungkin Berminat