Malaysia sokong Kenya jadi hab digital Afrika Selatan

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Malaysia bersama Kenya membincangkan secara lebih mendalam berkait hubungan dan kerjasama strategik antara dua negara

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau bersama Presiden William Samoei Ruto telah mengetuai delegasi masing-masing dalam mesyuarat hubungan dua hala itu.

“Kami meneliti pelbagai bidang kerjasama yang berkembang pesat, merangkumi perdagangan dan pelaburan, pertanian, industri halal, pendidikan, pembangunan modal insan, teknologi digital serta peluang baharu dalam sektor strategik seperti tenaga boleh baharu, pembangunan bandar lestari dan industri kreatif,” kata Anwar di laman Facebook beliau pada Isnin.

Anwar turut mendedahkan bahawa Malaysia kini bersedia dan komited terus menyokong aspirasi Kenya sebagai hab penting di Afrika Timur, khususnya dalam bidang digital, inovasi, TVET dan peningkatan kapasiti selaras dengan semangat kerjasama Selatan-Selatan yang didukung Malaysia.

Ujar Perdana Menteri, Malaysia dan Kenya turut bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan global, termasuk isu Palestin dan Sudan, konflik kemanusiaan, perubahan iklim serta keperluan mendesak bagi reformasi sistem antarabangsa agar lebih adil, inklusif dan benar-benar mencerminkan suara negara membangun.

Katanya, Malaysia turut menghargai peranan signifikan Kenya sebagai tuan rumah kepada pelbagai agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Maka dengan itu katanya, Malaysia telah sepakat untuk memperluas kerjasama dalam agenda pembandaran mampan serta pembangunan bandar yang berdaya tahan.

“Saya menzahirkan penghargaan atas layanan mesra Presiden Ruto, dan turut menjemput beliau melakukan lawatan ke Malaysia sesegera mungkin bagi memperkukuh hubungan persahabatan ini,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat