PETALING JAYA: Malaysia dan Sri Lanka sepakat untuk terus memperkukuh kerjasama dua hala melibatkan bidang perdagangan, pelancongan, pendidikan dan tenaga kerja mahir demi manfaat bersama kedua-dua negara.
Kesepakatan itu dicapai menerusi pertemuan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya dari Sri Lanka, Vijitha Herath, sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM) yang sedang berlangsung di ibu negara.
Pertemuan tersebut berlangsung dalam suasana mesra dan konstruktif, dengan kedua-dua pihak menzahirkan komitmen tinggi terhadap usaha memperkukuh hubungan diplomatik yang sedia terjalin sejak sekian lama.
“Hubungan erat Malaysia-Sri Lanka bukan sahaja memberi manfaat langsung kepada rakyat kedua-dua negara, malah menyumbang kepada kestabilan dan pembangunan serantau,” kata Anwar dalam satu kenyataan.
Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap peranan aktif Sri Lanka dalam membentuk masa depan rantau yang lebih aman, inklusif dan sejahtera melalui pelbagai kerjasama serantau.
Anwar menegaskan bahawa Malaysia akan terus bekerjasama rapat dengan Sri Lanka, bukan sahaja dari sudut dua hala tetapi juga dalam rangka memperkukuh solidariti ASEAN yang lebih bersatu, makmur dan berdaya tahan.
“Kerjasama seperti ini penting dalam membina komuniti serantau yang saling menyokong, khususnya dalam menghadapi cabaran global masa kini,” tambahnya.
Mesyuarat AMM ke-58 menghimpunkan menteri-menteri luar ASEAN dan rakan dialog dari pelbagai negara bagi membincangkan isu-isu serantau serta memperkukuh hubungan diplomatik dan keselamatan serantau.
Baca juga: