PETALING JAYA: Malaysia kekal berada dalam keadaan stabil dan selesa meskipun dunia sedang bergelut dengan krisis di Asia Barat, sehingga mendapat pujian daripada ramai pemimpin luar negara terhadap cara negara ini menguruskan kesan konflik dengan tenang dan tersusun.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, meskipun krisis global sedang berlaku, Malaysia masih mempunyai bekalan makanan asas yang mencukupi termasuk ayam, telur, beras, minyak masak, tepung dan pelbagai barangan lain.
“Malah sekarang ada lambakan sayur di pasaran. Raya pun meriah, rumah terbuka penuh, jalan tetap sesak.
“Ini realiti kita hari ini. Minyak? Petrol, diesel, gas masih ada, alhamdulillah.
“Subsidi? Kerajaan MADANI masih tanggung besar-besaran, berbilion ringgit supaya rakyat tak terbeban dan kebajikan kita semua terpelihara.
“Syukur dan beruntung jadi rakyat Malaysia. Alhamdulillah,” katanya.
Namun, beliau turut berkata, di sebalik manfaat tersebut, masih terdapat pihak yang memilih untuk menyebarkan berita tidak sahih ketika kerajaan sedang berusaha menstabilkan negara.
Menurut Dr Zulkifli, walaupun kerajaan telah menjelaskan dengan penuh fakta, ada pihak yang terus memutarbelitkan cerita sehingga menimbulkan rasa panik, menyebarkan fitnah serta sentimen yang tidak membantu rakyat.
“Isu krisis tenaga global ni bukan benda kecil. Ia kompleks. Ia benar-benar berlaku. Dan ia perlukan kita semua jadi lebih matang dalam hadapinya,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat Malaysia untuk mengamalkan prinsip tabayyun, iaitu menyemak dan memastikan kesahihan maklumat sebelum menyebarkannya khususnya berkaitan krisis tenaga global yang sedang hangat diperkatakan.
“Jadi, kita mesti tabayyun dulu. Semak sebelum sebar. Jangan jadi penyumbang kepada kekeliruan,” katanya.
Pada masa sama, beliau menggesa rakyat agar lebih berhemah dalam penggunaan tenaga dengan mengelakkan pembaziran, selari dengan tuntutan Islam yang menekankan kesederhanaan.
“Saya mengajak semua untuk mengamalkan gaya hidup bersederhana dan berjimat cermat dalam penggunaan tenaga, selari dengan tuntutan Islam yang menekankan kesederhanaan serta memusuhi pembaziran.
“Akhirnya, negara kuat bukan sebab kerajaan sahaja tapi sebab rakyatnya bijak, tenang, bersatu hati, rasional dan bertanggungjawab.
“Semoga kita semua terus bertanggungjawab dalam menyampaikan maklumat dan bijak dalam mengurus sumber, demi kesejahteraan bersama, insya-Allah,” kata beliau.








