PETALING JAYA: Puluhan ribu rakyat Malaysia berhimpun di Himpunan Solidariti Gaza sebagai satu suara menentang kezaliman yang terus membelenggu rakyat Palestin.
Tanpa mengira agama, bangsa atau latar belakang, mereka bersatu menyatakan sokongan terhadap perjuangan kemanusiaan yang semakin mendesak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut hadir ke himpunan itu, meluahkan rasa terharu melihat lautan manusia yang hadir dengan jiwa penuh kasih dan keberanian.
“Mereka (Rakyat) datang bukan kerana dipaksa tetapi kerana hati nurani yang menolak kezaliman dan menuntut keadilan.
“Inilah wajah sebenar Malaysia, bangsa yang berprinsip, berjiwa besar dan tidak rela melihat penindasan bermaharajalela,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook miliknya pada Khamis.
Himpunan tersebut berlangsung dalam suasana yang menyentuh hati dengan peserta membawa sepanduk, bendera Palestin dan laungan takbir serta doa yang bergema di seluruh lokasi.
Ia menjadi simbol bahawa Malaysia bukan sekadar pemerhati tetapi pemain aktif dalam perjuangan menuntut keadilan buat Gaza.

Anwar menegaskan pendirian Malaysia yang tidak akan berganjak dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin dan menentang kekejaman rejim Zionis.
“Kita akan terus berdiri teguh bersama masyarakat antarabangsa yang cintakan keamanan.
“Malah, menentang kekejaman rejim Zionis dan menuntut agar bantuan kemanusiaan disalurkan segera kepada rakyat Gaza,” tegasnya.
Beliau turut menyeru seluruh rakyat Malaysia agar terus membingkai muafakat dengan negara-negara sahabat, dunia Islam dan blok kemanusiaan sejagat demi merealisasikan misi bantuan dan membuka jalan kepada keamanan yang hakiki.
“Ini buat merealisasikan misi bantuan serta membuka jalan kepada keamanan yang hakiki demi melihat tertegaknya sebuah negara Palestin yang merdeka, berdaulat dan bermaruah,” katanya.
Anwar sekali lagi mengulangi komitmen Malaysia yang tidak akan berdiam diri selagi bumi Gaza terus dizalimi.
“(Malaysia) suara kita akan terus bergema di jalanan, pentas dunia dan di setiap ruang hati rakyat Malaysia. Gelombang Malaysia, Palestin Merdeka,” ujarnya.








