Malaysia terus komited dalam menambahbaik pendekatan yang diambil bagi mengimbangi keberkesanan tindakan penguatkuasaan dalam pengurusan kes dadah yang kompleks dengan nilai ihsan.
Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan), Datuk Abdul Halim Abdul Rahman berkata, Malaysia memandang serius isu yang dibangkitkan mengenai kekurangan akses kepada bhan kawalan bagi tujuan perubatan saintifik yang menyebabkan penderitaan kepada individu yang memerlukan di seluruh dunia.
“Tindakan segera perlu diambil terutama dalam meningkatkan akses bagi negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana.
“Kajian dan pindaan terhadap hukuman mati mandatori dan pemenjaraan sepanjang hayat yang telah diluluskan di Parlimen pada September 2023 memberikan punca kuasa kepada Mahkamah untuk membuat semakan semula hukuman.
“Pindaan perundangan ini melayakkan seramai 1,020 orang banduan yang telah dijatuhkan hukuman untuk melalui proses semakan semula ini,” katanya menerusi satu kenyataan.
Selain itu, Abdul Halim turut menyarankan negara-negara memastikan prundangan dan polisi yang berkaitan ditambahbaik serta memperkasakan perkhidmatan yang diberikan di fasiliti kesihatan.
Beliau berkata demikian ketika membincangkan agenda mengenai pelaksanaan Konvensyen Dadah Antarabangsa di Vienna, Austria pada Isnin.
Mesyuarat yang berlangsung selama lima hari bermula 18 sehingga 22 Mac, turut dihadiri Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din .
Untuk rekod, Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia merupakan Pihak Berkuasa Berwibawa yang bertanggungjawab bagi memastikan dadah dan bahan kawalan digunakan untuk tujuan perubatan dan kajian saintifik yang sah disamping mengelakkannya daripada penyalahgunaan.
Baca juga: