PARIS: Satu Mesyuarat Meja Bulat bersama 40 ketua industri dari Perancis yang beroperasi di Malaysia telah dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, mesyuarat berkenaan telah membincangkan potensi pelaburan dan kerjasama dalam sektor berimpak tinggi di peringkat global.
Mesyuarat yang berlangsung sempena lawatan kerja beliau ke Perancis itu turut disertai syarikat-syarikat gergasi seperti Air Liquide, L’Oréal, Axens, Schneider Electric dan Thales yang telah lama bertapak di Malaysia dan terus menunjukkan komitmen kukuh terhadap pembangunan ekonomi negara.
Dalam sesi tersebut, Anwar menekankan kelebihan Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama di rantau ini.
“Malaysia menawarkan kedudukan yang strategik sebagai pintu masuk ke pasaran ASEAN, disokong oleh kestabilan politik, dasar mesra pelabur dan ekosistem industri yang dinamik,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Beliau turut menyatakan bahawa Malaysia kini menjadi hab utama dalam sektor tenaga bersih, semikonduktor, elektrik dan elektronik serta terus memainkan peranan penting dalam industri minyak dan gas.
Beliau berkata, kerajaan juga memberi tumpuan kepada pemerkasaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) agar dapat menyertai rantaian bekalan global dan menjadi rakan kongsi strategik kepada pelabur asing.
“…termasuk melalui pemindahan teknologi, latihan dan pembangunan bakat,” katanya.
Anwar turut menggalakkan syarikat Perancis untuk meneroka peluang dalam Zon Ekonomi Khas dan taman halal di Malaysia serta menjalin kerjasama dalam bidang tenaga boleh baharu, teknologi penangkapan dan penyimpanan karbon (CCUS), ekonomi digital, pertahanan dan aeroangkasa.
“…selaras dengan agenda reformasi ekonomi negara yang inklusif dan mampan,” ujarnya.
Lawatan kerja itu dijangka membuka lembaran baharu dalam hubungan dua hala Malaysia-Perancis, memperkukuh keyakinan pelabur dan memacu pertumbuhan ekonomi negara.