Malaysia Tegas Kecam Pencerobohan Israel di Gaza, Seru Gencatan Senjata Berkekalan

PUTRAJAYA: Wisma Putra dalam satu kenyataan rasmi, menyuarakan kecaman terhadap pencerobohan ketenteraan Israel yang semakin memuncak di Gaza serta menyeru kepada tindakan global segera bagi menghentikan kekejaman yang berterusan.

Kenyataan itu berkata, Malaysia menyambut baik cadangan gencatan senjata selama 60 hari yang diusulkan Amerika Syarikat dan dirunding bersama Mesir serta Qatar.

Namun, Wisma Putra menegaskan bahawa gencatan sementara ini mesti menuju kepada penyelesaian kekal, bukan sekadar helah taktikal yang menangguhkan kezaliman.

“Sebarang penghentian sementara terhadap pencerobohan ketenteraan tidak boleh dijadikan sebagai helah taktikal,” menurut Wisma Putra.

Kenyataan itu juga menekankan keperluan mendesak untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan ke Gaza secara selamat, berkesan dan tanpa halangan birokrasi yang melambatkan.

Menurutnya, Malaysia secara konsisten mengecam pembunuhan beramai-ramai oleh rejim Zionis Israel yang telah meragut lebih 57,000 nyawa sejak Oktober 2023 dan memusnahkan institusi penting termasuk sekolah, hospital serta kediaman awam.

“Serangan yang disengajakan terhadap kediaman, sekolah, hospital dan pusat pengajian oleh rejim tersebut merupakan pelanggaran nyata terhadap undang-undang antarabangsa…” kata kenyataan itu.

Dalam nada yang selari, Malaysia turut menolak keras sebarang cubaan menafikan hak Wilayah Palestin serta menegaskan sokongan terhadap penubuhan Negara Palestin yang merdeka berasaskan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

“Malaysia sekali lagi menegaskan sokongan teguh terhadap hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri dan penubuhan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat…” kata Wisma Putra.

Anda Mungkin Berminat