Malaysia Tegas Kepentingan Diplomasi Ekonomi Di Persidangan BRICS

PETALING JAYA: Malaysia terus memperkukuh peranan diplomatik dan ekonomi di pentas antarabangsa apabila Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong, mewakili negara dalam Persidangan Antarabangsa Kerjasama Industri BRICS yang berlangsung di Xiamen, China.

Lawatan rasmi itu turut disusuli dengan kunjungan singkat ke Beijing, di mana Liew mengambil peluang untuk bertemu dengan barisan diplomat dan wakil perdagangan Malaysia bagi meneliti cabaran serta peluang semasa dalam konteks hubungan dua hala dan ketidaktentuan global.

Dalam pertemuan bersama Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Norman Muhamad, Liew menekankan pentingnya penyelarasan pentadbiran antara kementerian dan agensi berkaitan bagi memastikan dasar luar dan perdagangan negara bergerak seiring.

“Kami bersetuju bahawa Malaysia perlu menyusun pentadbiran dalaman dengan baik khususnya menyelaras kerjasama antara Wisma Putra dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri,” katanya.

Beliau berkata, keperluan Malaysia untuk memperluaskan kerjasama dengan kuasa besar seperti China, Amerika Syarikat dan India.

Menurutnya, hubungan strategik bukan sahaja perlu dibina dengan negara tetapi juga dengan negeri atau wilayah yang memiliki saiz ekonomi dan populasi lebih besar daripada sesetengah negara.

Pertemuan di Beijing turut disertai oleh Menteri (Ekonomi) Kedutaan Malaysia di China, Unny Sankar Ravi Sankar; Kaunselor Pelaburan MIDA Beijing, Wong Tiang Sing serta Pesuruhjaya Perdagangan MATRADE Beijing, Niqman Rafaee M. Sahar.

Liew menyifatkan Malaysia sebagai bertuah kerana memiliki barisan diplomat berpengalaman di Beijing, sebuah bandar yang dianggap sebagai pusat penting diplomasi dan perdagangan antarabangsa.

Anda Mungkin Berminat