ISTANBUL: Malaysia sekali lagi menyuarakan ketegasan terhadap isu Palestin dan keperluan menamatkan penjajahan rejim Zionis dalam sesi pertama Mesyuarat Majlis Menteri-Menteri Luar Negeri Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke-51 yang berlangsung di Istanbul, Türkiye semalam.
Mewakili Malaysia dalam mesyuarat berkenaan, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan penindasan terhadap rakyat Palestin bukan sekadar kebuntuan politik tetapi satu pencemaran terhadap hati nurani kemanusiaan.
“Malaysia kekal teguh menuntut penamatan penjajahan rejim Zionis Israel dan penubuhan negara Palestin yang merdeka, berasaskan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama strategik antara negara-negara Islam dalam memperjuangkan hak asasi manusia serta memastikan pembangunan mampan dalam kalangan negara anggota OIC.
Katanya, Malaysia sentiasa bersedia memainkan peranan aktif dalam menjayakan agenda ummah demi masa depan yang lebih cerah dan berdaya tahan.