PETALING JAYA: Malaysia sekali lagi menzahirkan komitmen teguhnya terhadap pembangunan digital sejagat apabila menyampaikan Kenyataan Negara pada Segmen Peringkat Tinggi Persidangan Pembangunan Telekomunikasi Dunia 2025 (WTDC-25) yang berlangsung di Baku, Azerbaijan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, mewakili Malaysia dalam sesi berprestij itu, menyatakan sokongan penuh negara terhadap mandat global Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU), sambil menegaskan hasrat Malaysia untuk mempertahankan kerusi Majlis ITU bagi penggal 2027–2030.
“Bagi pihak Malaysia, saya menegaskan komitmen penuh untuk terus memajukan mandat global Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU), seiring usaha negara untuk mempertahankan kerusi Majlis ITU bagi penggal 2027–2030,” kata beliau dalam kenyataan rasmi.
Dalam ucapannya, Fahmi turut memperincikan fokus utama Malaysia dalam memperkukuh ekosistem digital yang inklusif dan selamat.
Beliau berkata, usaha negara bukan sekadar membina infrastruktur tetapi juga menyentuh aspek kepercayaan, keselamatan dan pembangunan insan.
“Insya-Allah, Malaysia akan terus memperkukuh akses ketersambungan sejagat dan mampu milik melalui pelbagai kerjasama strategik,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Menurutnya, antara tumpuan utama Malaysia termasuklah meningkatkan kepercayaan digital dan ketahanan keselamatan siber, memajukan pembangunan kemahiran digital untuk semua serta memperluas kerjasama serantau dan pelbagai pihak berkepentingan ke arah ekonomi digital yang benar-benar inklusif.
“Visi Malaysia tetap jelas, iaitu membina masa depan digital yang berhubung, inklusif dan selamat untuk semua, pada setiap masa dan di mana jua,” katanya.








