PETALING JAYA: Walaupun dunia berdepan ketidaktentuan, Malaysia tetap mampu berdiri teguh berkat asas ekonomi yang kukuh serta semangat kebersamaan rakyat, merangkumi kepimpinan negara, penjawat awam, penggerak masyarakat dan sektor swasta, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam kenyataan di Facebook, hari ini, Anwar berkata, kekuatan Malaysia bukan sekadar angka tetapi juga bergantung kepada tata kelola yang baik serta iltizam untuk menoktahkan kebobrokan.
“Kita tidak mahu Malaysia dikenang kerana rasuah atau perpecahan kaum dan agama.
“Pemimpin harus menjauhi salah guna kuasa dan amalan memunggah kekayaan untuk diri dan keluarga, sebaliknya mereka harus tampil rendah diri, mendengar pandangan rakyat bagi merangka dasar yang mengangkat darjat, harkat dan martabat negara,” katanya.
Kenyataan itu dibuat sejurus ketibaan beliau di Moscow bagi lawatan rasmi ke Rusia dari 13 hingga 16 Mei atas undangan Presiden Rusia, Vladimir Putin.
Setibanya di negara itu, Anwar bersama barisan Menteri Kabinet terus ke ibu kota untuk berdialog dengan pelajar Malaysia yang kini menggalas amanah sebagai duta kecil negara di Rusia.
Perdana Menteri turut mendengar kegusaran pelajar mengenai peluang pekerjaan di tanah air serta cabaran melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi dari luar negara.
“Anak-anak Malaysia di luar negara pula memikul amanah besar.
“Pelaburan berbilion ringgit oleh syarikat seperti Infineon, Google, Microsoft, NVIDIA dan ARM hanya akan membuahkan hasil jika kita berjaya menyediakan bakat dan tenaga mahir yang mencukupi.
“Ilmu yang ditimba di rantau asing harus diterjemah kepada daya saing negara,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, Kerajaan Madani komited untuk memperluaskan peluang pekerjaan bernilai tinggi serta memperkenalkan sistem undi dalam talian bagi memastikan hak rakyat tidak dinafikan oleh kekangan teknikal.
“Saya tinggalkan pesanan buat anak-anak untuk terus berusaha menggapai langit dengan menimba ilmu dan meneroka bidang-bidang baharu yang diperlukan negara.
“Namun dalam setiap langkah, pastikan diri terus mengakar ke bumi, yakni berpegang teguh pada jati diri dan semangat kebangsaan yang membentuk kekuatan kita sebagai anak Malaysia,” ujar beliau.