PETALING JAYA: Malaysia mengukuhkan peranannya sebagai peneraju serantau dalam transformasi sektor awam menerusi penganjuran ASEAN Conference on Future-Ready Public Service yang berlangsung pada Selasa, bersempena Kepengerusian ASEAN 2025.
Persidangan anjuran Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) itu dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menghimpunkan pemimpin serta pegawai kanan dari seluruh rantau ASEAN bagi merangka visi bersama ke arah perkhidmatan awam yang lebih digital, tangkas dan berpaksikan rakyat.
Bertemakan ‘Keterangkuman dan Kemampanan’, persidangan itu menjadi medan penting untuk memperkukuh kerjasama serantau melalui platform ASEAN Cooperation on Civil Service Matters (ACCSM) yang diterajui Malaysia.
JPA memainkan peranan utama dalam memperkasa perkongsian inovasi, dasar dan amalan terbaik demi meningkatkan kecekapan serta keupayaan modal insan sektor awam.
Kemuncak acara adalah penerimaan ASEAN Declaration on Future-Ready Public Service, yang menggariskan komitmen bersama negara anggota untuk memperkukuh inovasi, profesionalisme dan integriti dalam perkhidmatan awam.

Deklarasi itu turut menekankan kepentingan mempercepat transformasi digital melalui teknologi termaju termasuk kecerdasan buatan (AI).
Deklarasi tersebut sejajar dengan nilai Malaysia MADANI dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, menzahirkan tekad baharu ASEAN untuk membina ekosistem pentadbiran yang responsif, beretika dan mampan.
Persidangan sehari itu turut menumpukan kepada tiga teras utama iaitu kepimpinan, teknologi dan pembangunan modal insan sebagai asas memperkukuh keupayaan pegawai awam dalam menghadapi perubahan global serta mempertingkat kepercayaan rakyat terhadap kerajaan.
Turut diadakan ialah pameran agensi kerajaan seperti JPA, MyGDX, MIGHT, NAIO dan MyDigital ID Sdn. Bhd., yang menonjolkan inovasi digital serta pendekatan ‘whole-of-government’ dalam membentuk ekosistem perkhidmatan awam berteraskan data dan teknologi.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, masa depan ASEAN perlu dibina atas asas keterangkuman, integriti dan kemakmuran bersama.
“Komitmen ini bukan sahaja memperkukuh aspirasi serantau tetapi turut menzahirkan nilai Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan rakyat dan tadbir urus berakauntabiliti,” katanya.








