KUALA LUMPUR: Malaysia mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju tenaga hijau serantau dengan melancarkan pelaksanaan projek ASEAN Power Grid (APG), satu inisiatif strategik yang dijangka mempercepatkan peralihan tenaga mampan dan memperkukuh jaringan bekalan rentas sempadan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, projek itu sebagai simbol kesepaduan ASEAN dalam memastikan akses tenaga yang selamat, mampu milik dan mesra alam untuk seluruh rantau.
“Malaysia kekal komited memperkukuh kerjasama tenaga hijau di rantau ini.
“Peralihan tenaga mesti diurus secara bertanggungjawab dan kolektif demi masa depan yang mampan,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN ke-43 (AMEM) dan Forum Perniagaan Tenaga ASEAN 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, pada Khamis.
Menurut beliau, ASEAN Power Grid yang mula dicetuskan lebih dua dekad lalu kini menjadi teras utama kerjasama tenaga serantau, membuka ruang kepada pelaburan baharu dan pembangunan industri tenaga hijau yang lebih menyeluruh.
“ASEAN Power Grid bukan sekadar projek tenaga tetapi simbol kesepaduan serantau untuk berkongsi sumber, membina ketahanan dan memastikan tenaga boleh diperoleh dengan selamat serta mampu milik,” katanya.
Bagi mempercepatkan pelaksanaan sambungan tenaga antara negara anggota, Anwar turut mengumumkan penubuhan ASEAN Power Grid Financing Initiative (APGF) sebagai sebuah kerjasama pembiayaan yang dibangunkan bersama Bank Pembangunan Asia (ADB) dan Bank Dunia.
“Kita mahu rancangan tenaga ASEAN diterjemah kepada tindakan.
“Sebab itu, inisiatif pembiayaan ASEAN Power Grid dilancarkan bagi menarik pelaburan hijau dan mempercepat sambungan tenaga rentas sempadan,” katanya lagi.
Inisiatif ini dijangka menjadi pemangkin utama ke arah merealisasikan matlamat ASEAN memiliki sistem grid kuasa sepenuhnya menjelang tahun 2045, sekali gus mengukuhkan kedudukan rantau ini sebagai hab tenaga bersih dan mampan di peringkat global.








