KUALA LUMPUR: Malaysia terus memacu transformasi industri automotif ke arah masa depan mobiliti, dengan menjadi pasaran kenderaan nombor satu di Asia Tenggara pada separuh pertama 2025, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Beliau berkata negara kini bukan sahaja membina kenderaan, tetapi berkembang sebagai hab serantau untuk mobiliti masa depan, termasuk pembangunan kenderaan elektrik (EV).
“Antara pencapaian terkini ialah pembangunan EV Perodua yang berjalan mengikut jadual, pelancaran Proton e.MAS 5, dan pemasangan model WEY G9 MPV oleh GWM Malaysia di luar China untuk pasaran pandu kanan.”
“Usaha membangunkan ekosistem motosikal EV juga membuahkan hasil, dengan sembilan pengeluar tempatan pada 2025 berbanding 11 model pada 2024 meningkat kepada 28 model pada separuh pertama tahun ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Jumaat.
Tengku Zafrul menegaskan kejayaan ini membuktikan perkembangan kukuh ekosistem industri automotif negara, selain meletakkan Malaysia pada landasan tepat untuk menjadi peneraju inovasi dan teknologi.
Beliau berkata Global Automotive and Technology Expo (GATE) 2025 yang julung kali diadakan merupakan platform sesuai untuk membentuk masa depan mobiliti negara, selaras Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP2030) dan Dasar Automotif Nasional 2020 (NAP 2020).
“Melalui pelan ini, kita memacu peralihan ke arah industri berteknologi tinggi, mampan dan bernilai tinggi, selain memperkukuh penciptaan teknologi, inovasi dan harta intelek,” katanya.
Menteri MITI itu turut menyentuh sokongan infrastruktur digital, termasuk Sovereign AI Cloud bernilai RM2 bilion dan peruntukan RM180 juta di bawah NIMP Industrial Development Fund bagi memperkukuh ekosistem industri automotif negara.
“Momentum ini perlu diteruskan untuk meletakkan Malaysia sebagai peneraju pertumbuhan industri yang mampan, pintar dan inklusif,” katanya.
Baca juga:








