Malaysia terima pelaburan tambahan RM1.6 bilion dalam sektor bangunan, peralatan dan automasi

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Nexperia BV, Xuezheng Zhang serta para pegawai eksekutif tertinggi syarikat semikonduktor di bandar pelabuhan utama Jerman.

Nexperia BV memiliki anak syarikat milik penuh di Malaysia, Nexperia Malaysia Sdn Bhd, yang mengembangkan operasi dengan kilang terbarunya di Seremban, Negeri Sembilan.

Eksekutif lain ialah Ketua Pegawai Kewangan dan Pengarah Urusan Nexperia Germany, Stefan Tilger, Ketua Pegawai Operasi, Achim Kempe, Ketua Hal Ehwal Korporat, Jean-Pierre Kempeneers dan Pengarah Kanan, Ketua Advokasi dan Perikatan, Hannes Van Raemdonck.

Mengikut laporan terdahulu, semasa majlis pecah tanah pada 2021, dilaporkan bahawa menjelang 2026 Nexperia Malaysia merancang untuk membuat pelaburan tambahan sebanyak RM1.6 bilion bagi bangunan, peralatan dan automasi di Malaysia.

Nexperia adalah antara pemain terkemuka dalam pengeluaran semikonduktor dan komponen penting yang digunakan dalam pelbagai reka bentuk elektronik.

Antara produk utamanya termasuklah diod, transistor, dan peranti perlindungan nyahcas elektrostatik (ESD) serta litar bersepadu analog dan logik.

Turut hadir bersama adalah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat