KUALA LUMPUR: Malaysia kini berada di tangga ketiga dalam senarai negara paling kurang berjalan kaki di dunia, menurut satu kajian global yang dijalankan oleh penyelidik dari Stanford University.
Kajian tersebut mendedahkan bahawa rakyat Malaysia secara purata hanya melangkah sekitar 3,963 langkah sehari, jauh di bawah purata global yang dianggarkan sekitar 5,000 langkah.
Penemuan itu bukan sekadar angka tetapi mencerminkan realiti gaya hidup moden yang semakin sedentari dan bergantung kepada kenderaan bermotor.
Malaysia hanya berada di bawah Indonesia dan Arab Saudi dalam laporan ringkas, menjadikan kedudukan itu antara yang paling membimbangkan dari segi aktiviti fizikal harian.
Menurut pakar kesihatan awam, trend itu memberi kesan besar terhadap tahap kesihatan rakyat termasuk peningkatan risiko obesiti, penyakit jantung dan tekanan mental.
Mereka menyuarakan kebimbangan bahawa gaya hidup yang kurang aktif ini boleh menjadi ancaman jangka panjang kepada kesejahteraan masyarakat.
Antara faktor yang dikenal pasti menyumbang kepada statistik ini termasuk reka bentuk bandar yang tidak mesra pejalan kaki, kebergantungan tinggi kepada kenderaan persendirian walaupun untuk perjalanan jarak dekat serta kekurangan kempen kesedaran dan insentif untuk menggalakkan gaya hidup aktif.








