Malaysia Terus Menegakkan Keadilan Buat Mangsa dan Waris Tragedi MH17

KUALA LUMPUR: Malaysia kekal komited dalam usaha menegakkan keadilan buat mangsa dan waris tragedi pesawat Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine pada Julai 2014, kata Muhammad Kamil Abdul Munim.

Beliau yang juga merupakan Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa pendirian Malaysia berhubung insiden tragis itu tidak pernah berubah.

Meskipun lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Rusia ketika ini mengundang reaksi berbeza daripada pihak tertentu.

“Malaysia akan terus mendukung segala usaha di peringkat antarabangsa bagi menuntut keadilan buat mangsa MH17.

“Kami tidak akan berkompromi dalam perkara ini,” katanya menerusi satu kenyataan di platform media sosial X.

Kenyataan itu dibuat susulan kritikan Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, yang mempersoalkan kewajaran lawatan Perdana Menteri ke Rusia selepas keputusan terbaharu Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) yang mendapati Rusia bertanggungjawab terhadap tragedi MH17.

Mengulas lanjut, Muhammad Kamil menyifatkan cubaan mempolitikkan isu tersebut sebagai tidak bertanggungjawab dan tindakan yang merendahkan nilai sebenar perjuangan menuntut keadilan.

“Mempolitikkan tragedi MH17 adalah tingkah paling rendah dalam mencari laba politik murahan.

“Lawatan rasmi ini telah dirancang lebih awal dan bukan reaksi kepada laporan ICAO yang baru dikeluarkan,” jelas beliau.

ICAO dalam keputusan terbarunya pada Ahad memutuskan bahawa Rusia telah melanggar Konvensyen Chicago 1944 berkaitan keselamatan penerbangan antarabangsa, susulan nahas yang mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal MH17.

Negara seperti Belanda dan Australia turut menggesa Rusia memulakan rundingan berhubung isu pampasan kepada waris mangsa tragedi tersebut.

Dalam pada itu, Muhammad Kamil turut menegaskan bahawa Malaysia akan terus memainkan peranan aktif di pentas diplomasi antarabangsa dengan penuh kewibawaan dan maruah.

“Insya-Allah, kunjungan rasmi ini akan terus membawa manfaat kepada negara dan rakyat, sambil kita tetap teguh dengan prinsip keadilan dan kedaulatan undang-undang,” katanya.

Pesawat MH17 yang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur telah ditembak jatuh pada 17 Julai 2014 di wilayah konflik di timur Ukraine, dipercayai oleh peluru berpandu yang dilancarkan dari wilayah yang dikuasai puak pemisah pro-Rusia.

Anda Mungkin Berminat