PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu menerima kunjungan hormat Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perniagaan Amerika Syarikat-ASEAN (US-ABC), Duta (Bersara) Brian McFeeters bersama delegasi sempena Misi Perniagaan Malaysia 2026.
Pertemuan tersebut membuka ruang perbincangan mengenai potensi memperkukuh pelaburan serta kerjasama strategik merentasi pelbagai sektor antara Amerika Syarikat dan ASEAN khususnya Malaysia.
Dalam pertemuan itu, Anwar berkata, Malaysia terus mempertingkat daya saing negara melalui pelbagai kerangka ekonomi yang jelas.
“Antaranya termasuk Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) serta Rangka Kerja Insentif Baharu (NIF) yang lebih bersasar dan berasaskan hasil,” katanya.
Beliau menekankan komitmen kerajaan dalam memastikan pembangunan ekonomi yang mampan, berdaya tahan dan berorientasikan masa depan industri negara.
“Usaha ini mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkukuh kemampanan, daya tahan ekonomi dan penaiktarafan industri negara.
“Di samping memastikan pelaburan berkualiti terus memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat dan negara,” katanya.








