KUALA LUMPUR: Malaysia menyatakan komitmen berterusan untuk mengadakan rundingan dengan Amerika Syarikat (AS) bagi menangani isu tarif import baharu yang bakal berkuat kuasa mulai 1 Ogos ini.
Menurut kenyataan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), rundingan itu bertujuan memperjelas skop dan kesan kenaikan tarif sebanyak 25 peratus yang diumumkan oleh Washington terhadap eksport dari Malaysia.
“Malaysia komited untuk meneruskan kerjasama dengan Amerika Syarikat demi mencapai satu perjanjian perdagangan yang seimbang, saling menguntungkan dan menyeluruh.
“Walaupun kami mengakui kebimbangan AS terhadap ketidakseimbangan perdagangan dan isu akses pasaran, kami percaya dialog yang membina kekal sebagai jalan terbaik ke hadapan,” kata MITI.
MITI menambah bahawa Malaysia yakin kedua-dua negara mampu mencari penyelesaian bersama yang dapat melindungi kepentingan sejagat dan memastikan hubungan perdagangan serta pelaburan kekal sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan.
Tambah kenyataan itu, kerajaan juga memberi jaminan akan melindungi kepentingan rakyat, perniagaan, tenaga kerja dan pengguna serta bersedia mengambil langkah sewajarnya untuk mengurangkan kesan tarif tersebut terhadap ekonomi domestik.
Untuk rekod, AS kekal sebagai rakan dagang kedua terbesar Malaysia dan destinasi eksport utama dengan nilai perdagangan dua hala meningkat hampir 30 peratus pada tahun 2024 kepada RM324.9 bilion (AS$71.4 bilion).
Daripada jumlah itu, eksport ke AS mencatat RM198.7 bilion (AS$43.7 bilion), manakala import pula bernilai RM126.3 bilion (AS$27.7 bilion).