Malaysia Terus Terajui Usaha Damai Sempadan Thailand–Kemboja – Anwar

PETALING JAYA: Malaysia kekal komited menerajui usaha damai antara Thailand dan Kemboja susulan pertemuan tiga hala yang berlangsung pagi tadi bersama delegasi kedua-dua negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pertemuan tersebut melibatkan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Kemboja, Jeneral Tea Seiha dan Pemangku Menteri Pertahanan Thailand, Jeneral Nattaphon Narkphanit.

Katanya, hasil rundingan itu, ketiga-tiga pihak mencapai kesepakatan untuk meneruskan dialog serta mengekalkan gencatan senjata di kawasan sempadan yang telah bermula sejak 28 Julai lalu.

“Ini mencerminkan iltizam bersama untuk menjunjung keamanan dan kestabilan serantau yang amat mustahak dalam landskap geopolitik hari ini,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Menurut Anwar, Malaysia turut diberi kepercayaan untuk meneruskan peranan penting dalam proses rundingan dan pemantauan di sempadan khususnya melalui Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar.

“Kedua-dua negara juga bersetuju mematuhi sepenuhnya gencatan senjata termasuk tidak melaksanakan sebarang bentuk serangan, tidak menambah kekuatan atau mengubah penempatan tentera serta mengelak sebarang tindakan provokatif.

“Mereka turut komited menjamin perlindungan terhadap orang awam dan infrastruktur awam di kawasan sempadan,” katanya.

Anwar turut memaklumkan bahawa perbincangan selama lebih 30 minit itu menyentuh cadangan penempatan pasukan ASEAN Observer Team (AOT) bagi membantu pemantauan, pengurusan bantuan kemanusiaan serta penyediaan perkhidmatan perubatan.

“Saya dan seluruh pasukan Malaysia akan terus berusaha menyokong proses damai ini atas kepercayaan bahawa keamanan berkekalan hanya boleh dicapai melalui dialog, persahabatan dan keikhlasan,” katanya lagi.

Anda Mungkin Berminat