‘Malaysia Terus Teroka Kerjasama Global, Sasar Pasaran Baharu’ – Anwar

KUALA LUMPUR: Malaysia komited memperkukuh multilateralisme dengan meneroka lebih banyak pasaran perdagangan dan pelaburan melalui kerjasama antarabangsa, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam wawancara bersama saluran CGTN baru-baru ini, Anwar berkata, langkah awal Malaysia terhadap Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) susulan jemputan Presiden China, Xi Jinping, telah membuahkan hasil positif.

“Kami berharap dapat terus bekerjasama dengan SCO. Namun lebih penting, Malaysia bersama ASEAN perlu membuka hubungan perdagangan dan pelaburan dengan pasaran lebih luas termasuk melalui mekanisme baharu seperti SCO dan BRICS,” katanya.

Mengenai Sidang Kemuncak ASEAN pada Oktober ini, Anwar memaklumkan ia bakal disertai pemimpin Brazil, Afrika Selatan, Itali dan Kanada yang disifatkannya sebagai perkembangan luar biasa bagi rantau ini.

Beliau turut mengulangi komitmen untuk membincangkan kemungkinan melanjutkan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sepanjang 25 kilometer ke sempadan Thailand.

“Kami tidak akan berhenti setakat di utara. Dengan kerajaan Thailand yang baharu atau sedia ada, kami akan adakan perbincangan mengenai peluasan projek ini,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan Malaysia berada dalam kedudukan baik untuk menerima manfaat daripada kejayaan industri kenderaan elektrik (EV) di China menerusi kerjasama Proton dan Geely.

Menurutnya, Geely akan memulakan pengeluaran hibrid di Malaysia sebelum beralih sepenuhnya kepada EV dengan sokongan kerajaan kedua-dua negara.

Anda Mungkin Berminat