Malaysia, Thailand Perkukuh Keselamatan Maritim Serantau

PUTRAJAYA: Latihan bersama maritim SEAEX THAMAL ke-72/2025 antara Malaysia dan Thailand telah berlangsung dengan jayanya dari 9 hingga 12 September lalu, memperlihatkan komitmen kukuh kedua-dua negara dalam memperkukuh keselamatan dan kestabilan maritim serantau.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berkata, eksesais itu melibatkan penyertaan lapan aset laut serta seramai 332 pegawai dan anggota dari pelbagai agensi keselamatan maritim Malaysia dan Thailand.

Majlis pembukaan eksesais telah diadakan di Markas Wilayah Laut 1 (MAWILLA 1), Kuantan, Pahang pada 9 September.

Ia disempurnakan oleh Timbalan Panglima Angkatan Laut Wilayah 1, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Pertama Abd Halim Kamarudin bersama Panglima Angkatan Laut Wilayah 2, Tentera Laut Diraja Thailand (RTN), Laksamana Madya Nares Wongtrakul.

Majlis penutup pula berlangsung di NAC 2, Songkhla, Thailand pada 12 September yang disempurnakan oleh Laksamana Madya Nares Wongtrakul bersama Panglima Angkatan Laut Wilayah 3, TLDM, Laksamana Pertama Mohd Norizal Fahrudin.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab.

“SEAEX THAMAL merupakan inisiatif di bawah Combined Maritime Working Group (CMWG) Malaysia–Thailand yang bertujuan untuk meningkatkan kerjasama operasi, memperkukuh keselamatan maritim serantau serta memelihara kepentingan bersama di kawasan Teluk Thailand, Laut China Selatan dan Laut Andaman,” katanya.

Menurut Maritim Malaysia, aset laut Malaysia yang terlibat dalam latihan itu ialah KD TERENGGANU dan KD SRI SABAH dari TLDM, KM JUJUR dari Maritim Malaysia serta PA56 daripada Pasukan Polis Marin (PDRM).

Thailand pula mengatur gerak HTMS PATTANI dan HTMS LAEMSING dari RTN, PGM 995 daripada Thai-MECC serta RTMP 817 milik Royal Thai Marine Police.

Selain latihan taktikal di laut, pelbagai aktiviti turut dilaksanakan sepanjang eksesais ini bagi mengeratkan hubungan serta meningkatkan persefahaman antara pegawai dan anggota dari kedua-dua negara.

Latihan SEAEX THAMAL ke-72 ini bukan sahaja memperkukuh kesiapsiagaan dan keupayaan operasi maritim, malah menjadi simbol kerjasama erat antara Malaysia dan Thailand dalam memastikan keselamatan, kestabilan dan keamanan rantau ini sentiasa terjamin.

Anda Mungkin Berminat