Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Malaysia tidak akan berdiam diri terhadap mana-mana bentuk penindasan dan ketidakadilan di peringkat global, termasuk kekejaman yang berlaku di Gaza.
Menerusi ucapan beliau pada sidang antarabangsa, Anwar menyeru seantero dunia untuk memecah tembok pemikiran lama yang menyekat erti kebebasan, kemerdekaan dan keadilan, serta membina semula persefahaman.
“Dunia tak boleh lagi terperangkap dalam pola pemikiran lama yang mempertahankan ketidakadilan sama ada dalam negara atau tatanan dunia.
“Sebab itu kita perlu hidupkan semula semangat dan kekuatan baru dalam perjuangan menegakkan keadilan,” katanya pada Sidang Kuala Lumpur ‘Mengenai Tatanan Antarabangsa Baharu yang Adil dan Berperikemanusiaan 2025’ di Ibu negara pada Selasa.
Perdana Menteri turut menekankan bahawa Malaysia kekal komited dalam memperjuangkan isu kemanusiaan di peringkat global, termasuk menyumbangkan dana RM100 juta bagi misi kemanusian buat Gaza.
Malah katanya, Malaysia turut bekerjasama bersama Jepun, negara-negara ASEAN yang lain dalam menggerakkan usaha kemanusiaan dan mobilisasi antarabangsa.
Beliau turut menzahirkan kekecewaan terhadap sikap negara-negara barat yang selama ini melaungkan nilai demokrasi yang selama ini melaungkan nilai demokrasi dan hak asasi manusia.
Namun pada hakikatnya, antara mereka antara sekutu kuat dan menyokong tindakan zalim terhadap rakyat Palestin.
“Bagaimana negara-negara yang mendakwa memperjuangkan demokrasi dan keadilan boleh menutup mata terhadap penjajahan dan kekejaman yang berlaku di Gaza.
“Ini bukan sekadar kontradiksi tetapi kemunafikan,” tegas beliau.
Ujarnya, tragedi Gaza menjadi simbol paling jelas terhadap kemerosotan moral malah kegagalan sistem antarabangsa dalam mempertahankan undang-undang serta keadilan sejagat.
“Apabila undang-undang menjadi selektif, ia tidak lagi menjadi keadilan sebaliknya propaganda.
“Bila kuasa tidak lagi merasa perlu memperbetulkan kesalahan, maka barbarisme moden akan kembali mengambil tempat,” katanya.
Tegas beliau lagi, diplomasi sejati tidak boleh dijadikan alasan untuk berdiam diri terhadap ketidakadilan, sebaliknya harus menjadi medan memperjuangkan prinsip moral dan keberanian politik.
“Diplomasi bukan untuk menenangkan kemarahan, tetapi medan untuk menegakkan kebenaran dengan keberanian dan keadilan,” ujarnya.
Baca juga: